Angkatan Wanita Parti AMANAH Negara Negeri Melaka (AWAN Melaka) amat kesal dengan penganjuran pertandingan Miss Tourism 2015/2016 World di Melaka baru-baru ini. Penganjuran pertandingan ini jelas bertentangan dengan syariat Islam dan adab ketimuran kerana ianya mendedahkan aurat, tidak memberikan manfaat, mengeksploitasi wanita sebagai bahan hiburan dan sebagainya.
Jelas sekali pertandingan Miss Tourism ini haram di sisi Islam kerana pakaian yang menjolok mata, tidak sopan dan hadirin pula terdiri dari kaum lelaki dan wanita. Lebih malang lagi Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Idris Haron sendiri turut hadir memeriahkan acara tersebut.
Sebelum ini Kerajaan Negeri Melaka dilihat banyak menganjurkan aktiviti-aktiviti agama seperti Melaka Berselawat dan sebagainya tetapi nampaknya ia tidak memberi keinsafan kepada pimpinan kerajaan negeri sehingga sanggup membenarkan program maksiat seperti ini diadakan di Melaka. Malah mereka sendiri hadir memberikan sokongan padu kepada program maksiat sebegini.
Kami sebagai kaum wanita berasa terhina kerana jelas sekali program ini mengeksploitasi wanita dengan mempamerkan bentuk badan dan aurat mereka kepada kaum lelaki. Walau apapun alasannya unsur-unsur eksploitasi wanita tetap berlaku kerana program seperti ini jelas sekali menjadikan wanita sebagai bahan hiburan. Sepatutnya kerajaan negeri Melaka berusaha mengadakan program untuk memartabatkan wanita dan bukan sebaliknya.
AWAN Melaka mendesak kerajaan negeri memohon maaf kepada semua kaum wanita di negeri Melaka khasnya kerana menggalakkan program eksloitasi wanita seperti ini diadakan di negeri Melaka. Kami tidak rela anak-anak muda di negeri ini terjebak dengan program-program lalai dan tidak bermanfaat malah haram di sisi Islam. Apa perasaan kita jika anak-anak kita sendiri mendedahkan sebahagian badan mereka kepada kaum lelaki seperti yang berlaku dalam program ini?
AWAN Melaka juga kesal kerana program maksiat seperti ini terus diadakan atas alasan untuk menarik pelancong datang ke Melaka. Apakah benar program-program maksiat dan lalai sebegini menggalakkan pelancong datang? Ini kerana kita tahu pelancong-pelancong datang bukan kerana ingin menonton pertandingan Miss Tourism tetapi kedatangan mereka adalah untuk melihat keindahan alam serta keunikan budaya kita.
Apakah kerajaan negeri sanggup menggadaikan nilai-nilai agama dan adab ketimuran dengan menghalalkan program Miss Tourism ini hanya kerana alasan dangkal untuk menggalakkan pelancongan. Sudah keringkah idea mereka untuk mengalakkan pelancongan sehingga sanggup memperjudikan hukum agama dan adab-adab ketimuran kita.
Sekali lagi AWAN Melaka menggesa Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri memohon maaf kepada kaum hawa di negeri ini serta negara kita kerana keterlanjuran mereka membenar dan mengalakkan program Ratu Cantik seperti ini.
Mahani Othman Basir
Ketua Angkatan Wanita (AWAN)
Parti AMANAH Negara
Negeri Melaka

Pihak AMANAH Jasin tidak akan bertanggungjawab dengan semua komentar yang telah diberikan oleh pengunjung laman ini. ConversionConversion EmoticonEmoticon